Monday, December 28, 2009

Salam Kerinduan

Sedar tak sedar, sudah  dua bulan aku meninggalkan laman bicara tanpa suara ini natijah kesibukan urusan dunia yang diluar jangkauan minda. Lantaran kekangan ruang dan kelapangan ekoran kesibukan menangani komitmen sebagai pelajar sarjana Bahasa Melayu di USM, melalui minggu peperiksaan, menangani aktiviti Seminar Sehari Linguistik 09, urusan akhir tahun, keluarga (anak sulung darjah 3, anak bongsu masuk darjah 1 sibuk enguruskan keperluan persekolahan), urusan kenduri-kendara sanak saudara mendirikan masjid dan sejuta alasan untuk mengukuhkan ketiadaan kelapangan mengemaskini blog kesayanganku ini.

Semester baru menjengah dengan kesibukan urusan mendaftar dan sebagainya. Berbekalkan keputusan peperiksaan yang sama sahaja seperti Sem 091, aku teruskan mendaftar Kursus HMT505 Semantik dan Wacana Bahasa Melayu Lanjutan dibawah Prof Mashudi, Pn Jamilah dan Pn Jumiya.

Semester ketiga bagi aku merupakan permulaan untuk menulis proposal tesis, mengenalpasti tajuk kajian, penyelia, litereture review, teori dan pelbagai lagi perlu aku tangani.

Sedikit kelapangan di dada apabila kursus audit telah habis dan hanya perlu menghadiri satu kelas sahaja seminggu, namun kesibukan akan terasa apabila aku akan  mula menulis kelak.

Insyaallah, semoga dengan keberkatan Ilahi dan iznNya, segala cita-cita dan hasrat dihati akan tercapai.