Friday, October 14, 2011

KESANTUNAN BERBAHASA DI KAUNTER PEJABAT SEKOLAH: SATU KAJIAN KES


Peranan staf sokongan ataupun kakitangan bukan akademik di kaunter pejabat sekolah amat penting kerana di sanalah pelanggan kepada institusi pendidikan tersebut akan mula melangkah masuk ke dunia organisasi tersebut. Maka, tanggapan pertama akan timbul di benak pelanggan dengan bentuk layanan yang diterima ketika berurusan di kaunter pejabat sekolah tersebut.
Pelanggan mungkin terdiri daripada ibu bapa, waris atau penjaga kepada murid yang akan bersekolah di sekolah tersebut, pegawai dari pelbagai organisasi atau jabatan kerajaan yang ada urusan dengan pihak pentadbiran sekolah. Pelanggan mungkin juga merupakan guru-guru yang akan memulakan tugas di sekolah berkenaan ataupun yang telah berkhidmat di situ. Selain itu, pelanggan di kaunter pejabat sekolah mungkin terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jurujual alat bahan bantu mengajar, wakil syarikat pembekalan buku,  kontraktor membaiki prasarana di sekolah dan pelbagai lagi.
            Kepelbagaian pelanggan ini menunjukkan bahawa kaunter pejabat sekolah menjadi sumber rujukan pertama, entri atau barisan hadapan kepada pelbagai urusan di sekolah berkenaan. Kepentingan sumber manusia atau pekerja yang menguruskan segala urusan di kaunter pejabat memikul tugas berat kerana tanggapan pertama oleh pelanggan terhadap keseluruhan organisasi perlu dipamerkan dengan sebaik mungkin.
            Kakitangan yang biasanya akan menyambut pelanggan di kaunter pejabat sekolah terdiri daripada staf sokongan di pejabat sekolah yang akan menguruskan segala urusan di pejabat termasuklah kaunter pejabat sekolah. Setelah disaring di kaunter tersebut, barulah pelanggan akan dibenarkan untuk meneruskan urusan yang diingini sama ada berkaitan pentadbiran, urusan persekolahan, perniagaan dan sebagainya.
            Adakalanya layanan yang diberikan di kaunter pejabat sekolah sekadar sambil lewa, tiada unsur kesantunan berbahasa yang bersesuaian, masa menunggu terlalu lama, terpaksa menunda urusan kerana orang yang ingin ditemui tiada dan sebagainya. Berkaitan layanan terhadap pelanggan, adakah kesantunan berbahasa dititik beratkan oleh staf sokongan di kaunter pejabat sekolah?[1]



[1] Berdasarkan pengalaman pengkaji yang bertugas selama lima tahun di sekolah yang dikaji, berhadapan dengan layanan yang diberikan di kaunter pejabat sekolah.

Dunia Baharu

Bersama-sama En Zainudin dari JPN PP dan Syuhairah di Kem LINUS PPD SPT 2011.
Pengalaman yang berharga mengendalikan program sokongan LINUS NKRA.

Monday, December 28, 2009

Salam Kerinduan

Sedar tak sedar, sudah  dua bulan aku meninggalkan laman bicara tanpa suara ini natijah kesibukan urusan dunia yang diluar jangkauan minda. Lantaran kekangan ruang dan kelapangan ekoran kesibukan menangani komitmen sebagai pelajar sarjana Bahasa Melayu di USM, melalui minggu peperiksaan, menangani aktiviti Seminar Sehari Linguistik 09, urusan akhir tahun, keluarga (anak sulung darjah 3, anak bongsu masuk darjah 1 sibuk enguruskan keperluan persekolahan), urusan kenduri-kendara sanak saudara mendirikan masjid dan sejuta alasan untuk mengukuhkan ketiadaan kelapangan mengemaskini blog kesayanganku ini.

Semester baru menjengah dengan kesibukan urusan mendaftar dan sebagainya. Berbekalkan keputusan peperiksaan yang sama sahaja seperti Sem 091, aku teruskan mendaftar Kursus HMT505 Semantik dan Wacana Bahasa Melayu Lanjutan dibawah Prof Mashudi, Pn Jamilah dan Pn Jumiya.

Semester ketiga bagi aku merupakan permulaan untuk menulis proposal tesis, mengenalpasti tajuk kajian, penyelia, litereture review, teori dan pelbagai lagi perlu aku tangani.

Sedikit kelapangan di dada apabila kursus audit telah habis dan hanya perlu menghadiri satu kelas sahaja seminggu, namun kesibukan akan terasa apabila aku akan  mula menulis kelak.

Insyaallah, semoga dengan keberkatan Ilahi dan iznNya, segala cita-cita dan hasrat dihati akan tercapai.

Wednesday, October 7, 2009

Kucingku, Tome


Tanggal 01 Oktober 2009, kucing kesayangan kami sekeluarga keluar seperti biasa. Tiada apa-apa keraguan di hati untuk melepaskan Tome keluar rumah pada hari Khamis pagi tatkala  aku, suami dan anak-anak sibuk untuk menjalani rutin biasa pada hari yang baru.
Selang beberapa hari, gundah bertamu kerana biasanya Tome akan balik selepas seharian keluar. Tome bukanlah kucing yang akan makan apa sahaja, hanya makanan yang disediakan di rumah akan dijamahnya. Pelik dan bimbang mula dirasakan kerana bimbang akan kepergian Tome. Suami pula berada di  Ipoh sehingga hari Sabtu. Biasanya dialah yang akan keluar mencari Tome kalau tak balik selepas sehari keluar rumah.
Pada hari Ahad, datang rakan anak-anakku, seorang anak kecil perempuan memaklumkan bahawa, "Wei, Tome hangpa mati kat tepi jalan". Terkejut kami anak beranak, lantas kami keluar menuju arah yang dimaksudkan, namun tiada apa yang ditemui.
Mungkin Tome dilanggar kenderaan yang lalu lalang, mungkin Tome tak mahu kami melihat badannya yang terbujur kaku, mungkin Tome tak mahu kami kesedihan atas kematiannya. Mungkin Tome telah dialihkan oleh seseorang kerana telah mati dan bimbang akan mengeluarkan bau yang kurang enak.


Monday, September 28, 2009

Catatan Aidilfitri 2009


Foto ahli keluarga di dinding rumah di kampung

Hari ini adalah 9 Syawal, rutin kembali ke asal. Anak-anak mula bersekolah, suami ke tempat kerja, diri sendiri masih bergelar pelajar sarjana sedaya upaya melangsaikan tugasan universiti. Jenuh juga memenuhi kehendak tugasan dan kursus yang diambil. Inilah yang dikatakan "akar yang pahit", tapi buah yang menanti pastinya "amat manis".
Kembali berkongsi kenangan di Aidilfitri, bonda amat gembira menerima kepulangan anak menantu dan cucunya yang ramai 15 tambah 1 (malam tadi baru lahir) dan 1 (menanti kelahiran). Meriahnya rumah di kampung, bermandikan cahaya pelita minyak tanah, percikan bunga api (ada kalanya bunyi mercun), anak-anak gembira bermain bersama sepupu-sepupu mereka.
Juadah wajib bonda di hari raya, sudah pastinya lemang (30 batang / 16 kg pulut tahun ni), ketupat daun palas (3.5 kg), tapai (5 kg), rendang ayam dan serunding ayam (ayam 8 ekor). Penat dan lelah diketepikan demi memenuhi permintaan anak-anak dan cucu-cucu untuk menikmati air tangan bonda.
Tahun ini bonda dan ayahanda menerima buah tangan dari semua anak menantu, baju, jubah, kain tudung, keronsang dan pelbagai lagi, hinggakan tak tahu nak pakai yang mana dulu, bimbang pihak yang memberi berkecil hati, pemberian tak dipakai.
Apa pun, sebagai anak, kami adik beradik sebaik mungkin cuba menghiburkan hati bonda dan ayahanda agar riang di hari lebaran.