Monday, September 28, 2009

Catatan Aidilfitri 2009


Foto ahli keluarga di dinding rumah di kampung

Hari ini adalah 9 Syawal, rutin kembali ke asal. Anak-anak mula bersekolah, suami ke tempat kerja, diri sendiri masih bergelar pelajar sarjana sedaya upaya melangsaikan tugasan universiti. Jenuh juga memenuhi kehendak tugasan dan kursus yang diambil. Inilah yang dikatakan "akar yang pahit", tapi buah yang menanti pastinya "amat manis".
Kembali berkongsi kenangan di Aidilfitri, bonda amat gembira menerima kepulangan anak menantu dan cucunya yang ramai 15 tambah 1 (malam tadi baru lahir) dan 1 (menanti kelahiran). Meriahnya rumah di kampung, bermandikan cahaya pelita minyak tanah, percikan bunga api (ada kalanya bunyi mercun), anak-anak gembira bermain bersama sepupu-sepupu mereka.
Juadah wajib bonda di hari raya, sudah pastinya lemang (30 batang / 16 kg pulut tahun ni), ketupat daun palas (3.5 kg), tapai (5 kg), rendang ayam dan serunding ayam (ayam 8 ekor). Penat dan lelah diketepikan demi memenuhi permintaan anak-anak dan cucu-cucu untuk menikmati air tangan bonda.
Tahun ini bonda dan ayahanda menerima buah tangan dari semua anak menantu, baju, jubah, kain tudung, keronsang dan pelbagai lagi, hinggakan tak tahu nak pakai yang mana dulu, bimbang pihak yang memberi berkecil hati, pemberian tak dipakai.
Apa pun, sebagai anak, kami adik beradik sebaik mungkin cuba menghiburkan hati bonda dan ayahanda agar riang di hari lebaran.

Hari Raya Aidilfitri 2009


Bondaku membakar lemang kegemaran kami sekeluarga


Kenangan bersama bonda, ayahanda dan puteri-puteri tersayang
pada pagi raya selepas selesai mengerjakan solat aidilfitri

Bersama suami tercinta di sebuah restoran makanan segera di Alor Setar

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Selamat hari raya kepada seluruh umat Islam. Semoga ibadat puasa di bulan Ramadan tahun ini diterima Allah dengan penuh keberkatan. Dalam kemeriahan menyambut kedatangan Syawal, jangan dilupa kepada yang tiada. Bersedekah sekiranya mampu dan meneruskan amalan kunjung mengunjung serta bermaaf-maafan di hari mulia.
Gugurkan segala kesalahan insan-insan di sekeliling kita, apatah lagi insan yang paling hampir dalam hidup kita. Mohonlah keampunan atas kekhilafan dan ketelanjuran silam. Semoga hidup penuh keberkatan pada masa mendatang.

Ke Langkawi

Kenangan bersama mak dan ayah, makan angin di Langkawi. Atas bot menahan mabuk laut.

Sunday, September 13, 2009

Catatan Ramadan

Ramadan ini terasa amat mencabar naluri keinsanan dan kemanusiaan ketika aku bergelar mahasiswa (mungkin mahasitua) kerana menggalas sejuta harapan, tanggapan, tanggungjawab dan naluri sendiri. Mengejar cita-cita yang menjadi idaman, sanggup ku redah onak dan duri, biarpun ada ketikanya goyah jua kekuatan yang kian cetek di kolam iman. Apa jua, selagi terdaya, akan ku kayuh perjuangan ini hingga ke tepian. Mohon pada Mu YA ALLAH, simbahkan kekuatan kepada hambaMu yang hina ini agar perjuanganku di bumiMu ini diberkati dan menuju destinasi dengan kecemerlangan. AMIN YA RABBUL A'LAMIN

Wednesday, September 9, 2009

SEMPENA PERSIDANGAN HARI HAK ASASI MALAYSIA 2009, PADA 9 SEPT

Hari Hak Asasi Mengingatkan Hak Setiap Individu

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Tanggal 9 Sept merupakan Hari Hak Asasi Manusia Malaysia dan kali ini tarikh itu lebih istimewa kerana ia juga menandakan genap sedekad hak asasi setiap insan di negara ini menerima pengiktirafan rasmi dengan penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Tetapi persoalannya ialah sejauh mana pencapaian negara dan kefahaman orang ramai dalam menghayati isu hak asasi ini?

Suhakam merupakan institusi tunggal yang diberi kuasa di bawah undang-undang untuk bertindak memelihara, melindungi dan mempromosi hak asasi manusia di Malaysia.

"Ia dilihat sebagai sebuah institusi yang penting tetapi sama ada ia berjaya mengubah keadaan atau kedudukan hak asasi manusia di negara ini tertakluk kepada pendapat masing-masing dan boleh didebatkan," kata Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun dalam temubual baru-baru ini.
CABARAN
Menurut Simon cabaran terbesar yang dihadapi Suhakam sehingga ini ialah bagaimana menunaikan harapan rakyat yang begitu tinggi sedangkan Suhakam tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan keputusan.

Suhakam hanya boleh mengemukakan syor, menguatkan suara dan memberi nasihat. Setakat ini sembilan laporan tahunan Suhakam telah dikemukakan ke Parlimen, yang mengandungi aktiviti serta perkara yang dirujuk kepada Suhakam, tindakan yang diambil dan syor-syor oleh Suhakam.

"Malangnya sehingga kini kesemua sembilan laporan tahunan ini belum lagi dibincang atau didebatkan dalam Parlimen," katanya.

Cabaran lain Suhakam sepanjang 10 tahun penubuhannya ialah membetulkan persepsi orang ramai mengenai Suhakamyang kadang-kadang kurang tepat.

"Ada yang menganggap Suhakam proPembangkang, proKerajaan atau NGO. Tetapi di sini saya ingin jelaskan sebenarnya Suhakam bukannya prokerajaan, bukan pembangkang, bukan proNGO dan bukan pro sesiapapun. Hanya proHak asasi manusia," katanya.

"Kalau kami fikir pihak kerajaan misalan pihak polis melanggar hak asasi manusia, kami tidak dapat menerima tindakan mereka itu. Tidak kira siapa yang melanggar hak asasi manusia kami buat kenyataan yang kami fikir mencerminkan keadaan sebenar," katanya.

Jadi Suhakam merupakan sebuah institusi yang bebas dan bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia.

Cabaran lain Suhakam ialah bagaimana memujuk kerajaan dan institusi-institusi kerajaan agar memberi perhatian kepada syor-syor Suhakam yang telah dikemukakan sejak penubuhannya, yang pada pandangan Simon sambutannya dingin sekali dan kurang menggalakkan.

Selain itu kenyataan-kenyataan mengenai hak asasi manusia yang dibuat oleh Suhakam juga kurang mendapat sambutan akhbar arus perdana berbanding di internet.

Suhakam juga menghadapi masalah kekurangan petugas dan pegawai yang betul-betul berkelayakan dan berpengalaman berhubung dengan hak asasi manusia.

TERBAIK DI ASEAN

Walau apapun tahap kesedaran hak asasi manusia di Malaysia jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan negara maju di Eropah masih ketinggalan.

Menurut Simon, nilai hak asasi manusia ini juga mencerminkan tahap demokrasi di sesebuah negara iaitu semakin lama demokrasi diamalkan dan tinggi penghormatan terhadap hak asasi manusia maka tumpuan adalah kepada kebebasan individu.

Di Malaysia hak asasi banyak tertumpu kepada kepentingan komuniti berbanding individu kerana pencapaian kemajuan hanya setakat itu.

Sekiranya pencapaian pembangunan daripada segi politik, ekonomi dan budaya telah meningkat seperti di negara-negara Eropah Barat dan Amerika, mungkin Malaysia juga akan berada pada kedudukan yang sama.

Tetapi kalau dibandingkan dengan negara anggota Asean yang lain seperti Myanmar, Singapura dan Kemboja, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik daripada segi hak asasi manusia, katanya.

Memandangkan proses memperjuang hak asasi manusia ini diteruskan, beliau berharap akan wujud sebuah masyarakat yang betul-betul berbudaya menghormati hak asasi manusia di masa akan datang.

SAMBUTAN HARI HAK ASASI MANUSIA
Tetapi mengapa sambutan Hari Hak Asasi Manusia Malaysia diadakan pada 9 Sept setiap tahun?
Tarikh 9 Sept menjadi pilihan bagi sambutan tahunan peringkat kebangsaan kerana angkanya mudah diingati di samping pada tarikh itu juga Suhakam diwujudkan untuk memperkembang, mempromosi dan memberi perlindungan hak asasi manusia bagi penduduk Malaysia.
Objektif sambutan kali ini ialah untuk mengkaji semula status hak asasi manusia di negara ini sepanjang 10 tahun lepas;mengenal pasti cabaran yang menghalang pencapaian dan peningkatan taraf hak asasi manusia; dan mencadang, membincang dan mengenal pasti pendekatan yang paling sesuai untuk membolehkan kerajaan mengadakan satu pelan tindakan nasional hak asasi manusia.
Sambutan kali ini, di Kuala Lumpur, akan dimulakan dengan ucaptama oleh Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Othman dan disusuli dengan pembentangan oleh empat anggota panel sebelum sesi penggulungan oleh Simon.
-- BERNAMA

Kekuatan Diri

Salam...
Ya Allah, kepadaMu aku sandarkan segala kepayahan menuntut sebuah kekuatan dariMu Tuhanku. Terasa perit getir dengan pelbagai karenah hidup dan tuntutan pelbagai sudut dari orang keliling dalam kehidupan. Terasa berat benar untaian kata untuk dikeluarkan, namun andai tersimpan di benak, bimbang mudarat jiwa dan raga. Curahan rasa dan bibit sendu perlu dikeluarkan dari sanubari agar kendur sejenak bagi meneruskan perjuangan diri mengejar kekuatan dari Illahi.
Semester ini terasa amat cabaran sebagai seorang pelajar sarjana Bahasa Melayu di sebuah Universiti APEX, sebagai seorang mama kepada dua orang cahaya mata perempuan, sebagai seorang isteri kepada seorang lelaki berkerjaya, dan sebagai seorang wanita yang berusia 35 tahun dengan pelbagai penyakit kronik meneruskan kehidupan seharian.
Kembali kepada Pencipta Yang Esa adalah jalan yang wajib ke toleh tanpa keraguan di hati agar nur yang dicari akan ketemui. Benar kata bijak pandai, akar kepada kejayaan memang pahit, tetapi buah yang bakal dipetik amat manis rasanya. Mengenangkan buah yang semanis kurma menanti dihujung perjuangan ini, maka akan kuteruskan dengan kekuatan dariMu Ya ALLAH..berkatilah perjuanganku ini. Amin Ya rabbul a'lamin.