Tuesday, February 3, 2009

Bahasa Melayu diabai telefon


TELEFON bimbit dewasa ini menjadi barang keperluan dan amat menyeluruh penggunaannya tanpa mengira usia, pekerjaan dan masyarakat. Tetapi, persoalannya berapa ramaikah pengguna telefon bimbit yang menggunakan bahasa pilihan bahasa Melayu di dalam telefon bimbit mereka? Mungkin ada segelintir masyarakat kita berpendapat penggunaan bahasa Inggeris lebih mudah apatah lagi ia dianggap sebagai bahasa sains dan teknologi oleh sesetengah pihak. Sebagai rakyat yang mendaulatkan perlembagaan yang termaktub jelas dan nyata di dalam Artikel 152, Akta Bahasa Kebangsaan, kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu. Ini bertujuan menyahut, merealisasikan dan menterjemahkan kehendak Perlembagaan Persekutuan dan mengangkat martabatnya dengan mengaplikasikan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk dalam telefon bimbit.
Mengikut tinjauan rambang, hanya 10 syarikat meletakkan aplikasi bahasa Melayu di dalam telefon bimbit keluaran mereka, ini bukanlah alasan untuk dijadikan halangan untuk kita mempraktikkan bahasa Melayu yang semakin tercabar kedudukannya. Teks versi bahasa Melayu amat bergantung kepada perisian telefon bimbit. Setiap telefon bimbit diciptakan dengan perisian asalnya dalam bahasa Inggeris. Faktor ruang menjadi faktor penting yang mempengaruhi corak dan teknik bahasa yang diterjemahkan (Artikel: Kemiskinan Teks Bahasa Melayu Dalam Telefon Bimbit, Dewan Bahasa: Jun 2002) Kekangan akibat keadaan semula jadi bahasa Melayu yang agak melewah dari segi kata, frasa, klausa dan ayatnya, bukanlah alasan untuk mengetepikan penggunaan bahasa Melayu di dalam telefon bimbit.
Sikap pengguna yang tidak memberi ruang dan peluang kepada penggunaan bahasa Melayu. Sesuatu yang dijadikan amalan dan kebiasaan akhirnya sebati dalam diri. Hal ini perlu diambil serius oleh semua pihak di pelbagai lapisan masyarakat supaya tamadun yang terbina tidak akan hilang bahasanya akibat dikuburkan bangsanya sendiri.

PENCINTA BAHASA BANGSA SENDIRI, Pulau Pinang.

Sumber:Berita Harian Online. Berita Harian Sdn.Bhd..30 Januari 2009. <http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Surat/20090129235312/Article/ > 03 Februari 2009.

Petikan artikel di atas merupakan hasil tulisan Norliza bt Abdul Kadir yang dihantar melalui e-mel ke Berita Harian dan telah tersiar di Ruangan Surat & E-mel akhbar Berita Harian pada 30 Januari 2009. (Ini adalah sebahagian daripada tugasan HMT 507 Isu Semasa Bahasa Melayu di bawah Dr. Syed Zainal Ariff b Syed Jamaluddin, kajian mengenai perisian telefon bimbit yang menggunakan versi bahasa Melayu)

No comments:

Post a Comment