Tuesday, August 4, 2009

Seorang Pejuang Bahasa Sebatang Pena

Seorang pejuang bahasa sebatang pena
Memakai songkok hitam di atas kepala
Mengenakan baju Melayu persis laksamana
Menghayun langkah sederap penuh bergaya
Bermadah dengan kata-kata syair dan pujangga

Diajak mari sekalian alam diajak berbahasa
Merantau, menyeru, menyebar ke seluruh dunia
Mengajarkan kias ibarat, berpantun seloka
Menyanyikan lagu zaman mengharung masa
Menarikan rentak Melayu di Nusantara

Kadang-kadang keringatnya tumpah di lautan api
Ada kala air matanya membasahi gunung tinggi
Darahnya mengalir menjadi semangat mewangi
Nafasnya menghembus sekuat taufan mengharung bumi

Di mana tempat siapa menyanjungnya?
Berapa upah apa bayarannya?
Dia datang dan pergi dengan hati bangga
Apabila martabat bangsanya agung di jagat raya

Seorang pejuang bahasa, sebatang pena
Mengejutkan bangsanya daripada tidur lena
Wahai bangsaku, bangkitlah segera
Kembalikan bahasa kita di atas persada

Syamsul Amri Nasir
Pelita Bahasa Ogos 2009

No comments:

Post a Comment