Showing posts with label Personel. Show all posts
Showing posts with label Personel. Show all posts

Wednesday, October 7, 2009

Kucingku, Tome


Tanggal 01 Oktober 2009, kucing kesayangan kami sekeluarga keluar seperti biasa. Tiada apa-apa keraguan di hati untuk melepaskan Tome keluar rumah pada hari Khamis pagi tatkala  aku, suami dan anak-anak sibuk untuk menjalani rutin biasa pada hari yang baru.
Selang beberapa hari, gundah bertamu kerana biasanya Tome akan balik selepas seharian keluar. Tome bukanlah kucing yang akan makan apa sahaja, hanya makanan yang disediakan di rumah akan dijamahnya. Pelik dan bimbang mula dirasakan kerana bimbang akan kepergian Tome. Suami pula berada di  Ipoh sehingga hari Sabtu. Biasanya dialah yang akan keluar mencari Tome kalau tak balik selepas sehari keluar rumah.
Pada hari Ahad, datang rakan anak-anakku, seorang anak kecil perempuan memaklumkan bahawa, "Wei, Tome hangpa mati kat tepi jalan". Terkejut kami anak beranak, lantas kami keluar menuju arah yang dimaksudkan, namun tiada apa yang ditemui.
Mungkin Tome dilanggar kenderaan yang lalu lalang, mungkin Tome tak mahu kami melihat badannya yang terbujur kaku, mungkin Tome tak mahu kami kesedihan atas kematiannya. Mungkin Tome telah dialihkan oleh seseorang kerana telah mati dan bimbang akan mengeluarkan bau yang kurang enak.


Monday, September 28, 2009

Catatan Aidilfitri 2009


Foto ahli keluarga di dinding rumah di kampung

Hari ini adalah 9 Syawal, rutin kembali ke asal. Anak-anak mula bersekolah, suami ke tempat kerja, diri sendiri masih bergelar pelajar sarjana sedaya upaya melangsaikan tugasan universiti. Jenuh juga memenuhi kehendak tugasan dan kursus yang diambil. Inilah yang dikatakan "akar yang pahit", tapi buah yang menanti pastinya "amat manis".
Kembali berkongsi kenangan di Aidilfitri, bonda amat gembira menerima kepulangan anak menantu dan cucunya yang ramai 15 tambah 1 (malam tadi baru lahir) dan 1 (menanti kelahiran). Meriahnya rumah di kampung, bermandikan cahaya pelita minyak tanah, percikan bunga api (ada kalanya bunyi mercun), anak-anak gembira bermain bersama sepupu-sepupu mereka.
Juadah wajib bonda di hari raya, sudah pastinya lemang (30 batang / 16 kg pulut tahun ni), ketupat daun palas (3.5 kg), tapai (5 kg), rendang ayam dan serunding ayam (ayam 8 ekor). Penat dan lelah diketepikan demi memenuhi permintaan anak-anak dan cucu-cucu untuk menikmati air tangan bonda.
Tahun ini bonda dan ayahanda menerima buah tangan dari semua anak menantu, baju, jubah, kain tudung, keronsang dan pelbagai lagi, hinggakan tak tahu nak pakai yang mana dulu, bimbang pihak yang memberi berkecil hati, pemberian tak dipakai.
Apa pun, sebagai anak, kami adik beradik sebaik mungkin cuba menghiburkan hati bonda dan ayahanda agar riang di hari lebaran.

Hari Raya Aidilfitri 2009


Bondaku membakar lemang kegemaran kami sekeluarga


Kenangan bersama bonda, ayahanda dan puteri-puteri tersayang
pada pagi raya selepas selesai mengerjakan solat aidilfitri

Bersama suami tercinta di sebuah restoran makanan segera di Alor Setar

Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Selamat hari raya kepada seluruh umat Islam. Semoga ibadat puasa di bulan Ramadan tahun ini diterima Allah dengan penuh keberkatan. Dalam kemeriahan menyambut kedatangan Syawal, jangan dilupa kepada yang tiada. Bersedekah sekiranya mampu dan meneruskan amalan kunjung mengunjung serta bermaaf-maafan di hari mulia.
Gugurkan segala kesalahan insan-insan di sekeliling kita, apatah lagi insan yang paling hampir dalam hidup kita. Mohonlah keampunan atas kekhilafan dan ketelanjuran silam. Semoga hidup penuh keberkatan pada masa mendatang.

Ke Langkawi

Kenangan bersama mak dan ayah, makan angin di Langkawi. Atas bot menahan mabuk laut.

Sunday, September 13, 2009

Catatan Ramadan

Ramadan ini terasa amat mencabar naluri keinsanan dan kemanusiaan ketika aku bergelar mahasiswa (mungkin mahasitua) kerana menggalas sejuta harapan, tanggapan, tanggungjawab dan naluri sendiri. Mengejar cita-cita yang menjadi idaman, sanggup ku redah onak dan duri, biarpun ada ketikanya goyah jua kekuatan yang kian cetek di kolam iman. Apa jua, selagi terdaya, akan ku kayuh perjuangan ini hingga ke tepian. Mohon pada Mu YA ALLAH, simbahkan kekuatan kepada hambaMu yang hina ini agar perjuanganku di bumiMu ini diberkati dan menuju destinasi dengan kecemerlangan. AMIN YA RABBUL A'LAMIN