Monday, September 28, 2009

Catatan Aidilfitri 2009


Foto ahli keluarga di dinding rumah di kampung

Hari ini adalah 9 Syawal, rutin kembali ke asal. Anak-anak mula bersekolah, suami ke tempat kerja, diri sendiri masih bergelar pelajar sarjana sedaya upaya melangsaikan tugasan universiti. Jenuh juga memenuhi kehendak tugasan dan kursus yang diambil. Inilah yang dikatakan "akar yang pahit", tapi buah yang menanti pastinya "amat manis".
Kembali berkongsi kenangan di Aidilfitri, bonda amat gembira menerima kepulangan anak menantu dan cucunya yang ramai 15 tambah 1 (malam tadi baru lahir) dan 1 (menanti kelahiran). Meriahnya rumah di kampung, bermandikan cahaya pelita minyak tanah, percikan bunga api (ada kalanya bunyi mercun), anak-anak gembira bermain bersama sepupu-sepupu mereka.
Juadah wajib bonda di hari raya, sudah pastinya lemang (30 batang / 16 kg pulut tahun ni), ketupat daun palas (3.5 kg), tapai (5 kg), rendang ayam dan serunding ayam (ayam 8 ekor). Penat dan lelah diketepikan demi memenuhi permintaan anak-anak dan cucu-cucu untuk menikmati air tangan bonda.
Tahun ini bonda dan ayahanda menerima buah tangan dari semua anak menantu, baju, jubah, kain tudung, keronsang dan pelbagai lagi, hinggakan tak tahu nak pakai yang mana dulu, bimbang pihak yang memberi berkecil hati, pemberian tak dipakai.
Apa pun, sebagai anak, kami adik beradik sebaik mungkin cuba menghiburkan hati bonda dan ayahanda agar riang di hari lebaran.

No comments:

Post a Comment