Sunday, July 19, 2009

Kata Nama Khas: Satu Tinjauan di Kawasan Terpilih Bukit Mertajam

Kata Nama Khas:
Satu Tinjauan di Kawasan Terpilih di Bukit Mertajam

Radiah Yusoff & Norliza Abdul Kadir
Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
odyusoff@gmail.com & norlizakadir74@yahoo.com


Abstrak: Kertas ini akan membincangkan pembentukan kata nama khas yang terdapat di satu kawasan terpilih di bandar Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Kata nama khas yang ditemui hadir dalam bentuk (i) selapis dan (ii) kompleks. Kata nama khas kompleks terhasil melalui (i) pemajmukan sahaja, (ii) gabungan pemajmukan dan pengimbuhan, (iii) gabungan pemajmukan dan pinjaman, dan (iv) gabungan pemajmukan dan penyingkatan. Selain dari itu, didapati bahawa kata nama khas kompleks bersifat endosentrik, iaitu hasil pemajmukan memperlihatkan makna dan kategori leksikalnya sama dengan kepala. Perkataan yang digunakan untuk membentuk kata nama khas ini juga didapati boleh dikesan kehadirannya dalam kamus cetakan biasa, kamus talian, bahan talian lain dan sebagainya. Dalam pembentukan kata nama khas ini, terdapat beberapa perkataan yang masih dieja menurut sistem ejaan lama.

kata kekunci: kata nama khas, selapis, kompleks, pemajmukan, pengimbuhan, pinjaman, penyingkatan, endosentrik
1.0 PENDAHULUAN

Kata nama khas (KNK) ialah kata nama yang merujuk kepada nama khusus sesuatu unsur, dan huruf pertama untuk perkataan yang membentuk KNK ini dieja menggunakan huruf besar (Nik Safiah karim et al, 2008: 84). Contoh kata nama khas boleh dilihat dalam perkataan ‛Menteri Luar’, ‛Datuk Anifah Aman’, ‛Malaysia’, ‛Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam’, ‛Damsyik’, ‛Syria’ dan ‛Mei’ yang terdapat dalam (1).

(1) Menteri Luar Datuk Anifah Aman akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat ke-36 Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Damsyik, Syria dari 23 hingga 25 Mei.
(http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=413101)

2.0 TUJUAN DAN BATASAN KAJIAN

Kertas ini akan melihat dan menghuraikan pembentukan kata nama khas (KNK) (i) yang terdapat di satu kawasan terpilih di bandar Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang, (ii) yang digunakan untuk jalan, lorong, taman, kampung, masjid, sekolah, penanda arah dan sebagainya yang dirakam gambarnya dan dipindahkan ke dalam bentuk cetakan, dan (iii) yang terdapat dalam kawasan beradius lima hingga 10 kilometer dari Taman Alma Jaya, Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang.
Selain dari itu, kertas ini akan melihat sama ada perkataan yang digunakan untuk KNK di kawasan terpilih ini terdapat dalam kamus bahasa atau dialek Melayu atau kamus-kamus lain. Semasa melihat dan menghuraikan pembentukan kata nama khas ini, alasan dari sudut pandangan sejarah diabaikan.

3.0 DAPATAN DAN ANALISIS KAJIAN

3.1 BENTUK DAN CARA BINAAN KNK

KNK yang ditemui dalam kajian ini hadir dalam bentuk (i) selapis dan (ii) kompleks. KNK selapis terdiri daripada satu morfem bebas sahaja, seperti ‘Alma’ dan ‘Kulim’. KNK kompleks pula terdiri daripada gabungan dua atau lebih morfem bebas sahaja seperti ‘Bukit Tengah’ [‘bukit’ dan ‘tengah’] dan ‘Taman Selesa’ [‘taman’ dan [‘selesa’], atau gabungan morfem bebas dan terikat, seperti ‘Perkampungan Machang Bubuk’ [(‘peR-…-an’ + ‘kampung’) + ‘machang’ + ‘bubuk’] dan ‘Sekolah Kebangsaan Tanah Liat’ [‘sekolah’ + (‘ke -…-an’ + ‘bangsa’) + ‘tanah’ + ‘liat’]

KNK kompleks yang ditemui terhasil melalui empat cara. Cara pertama ialah pemajmukan yang melibatkan morfem bebas sahaja, seperti ‘Kampung Manggis’yang terdiri daripada morfem bebas ‘kampung’ dan ‘manggis’ dan ‘Kampung Telok Bukit’ yang terdiri daripada morfem bebas ‘kampung’, ‘ telok’ dan ‘bukit’.

Cara kedua KNK terhasil ialah melalui gabungan pemajmukan dan pengimbuhan, seperti ‘Sekolah Kebangsaan Tanah Liat’ yang menggabungkan empat perkataan dengan satu daripada empat perkataan ini terhasil melalui proses pengimbuhan.. Dalam ‘Sekolah Kebangsaan Tanah Liat’, terdapat tiga perkataan yang terdiri daripada morfem bebas sahaja, iaitu ‘sekolah’, ‘tanah’ dan ‘liat’. Perkataan ‘kebangsaan’ pula terbentuk melalui penambahan imbuhan ‘ke-…an’ kepada morfem bebas ‘bangsa’.

Cara ketiga KNK terhasil ialah melalui gabungan pemajmukan dan pinjaman, seperti ‘Taman Sri Kijang’. Dalam ‘Taman Sri Kijang’, tiga perkataan digunakan, iaitu ‘taman’, ‘sri’, dan ‘kijang’. ‘Taman’ dan ‘kijang’ ialah perkataan bahasa Melayu. Perkataan ‘sri’ boleh diandaikan berasal dari bahasa Sanskrit. Ini boleh disahkan melalui artikel ‘Sri’ dari Wikipedia (2009),

Sri, Shri, Shree, Siri or Seri … is a Sanskrit title of veneration. It is an honorific stemming from the Puranic conception of prosperity and frequently used in Hinduism, Buddhism, Sikhism and Jainism. … It is used in the name of the country Sri Lanka, which means venerable island and as in Sri Perambadur, a town in the State of Tamil Nadu, where the Srivaishnava pontiff Ramanujacharya was born.

Selain dari maklumat Wikipedia, kita dapat perhatikan bahawa perkataan ‘Sri’ ini telah lama digunakan, seperti dalam nama kerajaan Sriwijaya yang berkuasa ‘dari abad ketujuh hingga ke-13 Mashihi’ dan yang ‘kuat dipengaruhi budaya Hindu-Buddha’ (Nik Safiah Karim et al, 2008: 11). Maka, selain dari menggabungkan tiga perkataan, ‘Taman Sri Kijang’ juga telah meminjam unsur Sanskrit dalam pembinaannya.

Cara keempat KNK dibina ialah melalui gabungan pemajmukan dan penyingkatan, seperti ‘Bkt. Minyak’. ‘Bkt. Minyak’ terhasil dari pemendekan perkataan ‘bukit’ kepada ‘bkt.’ dan percantuman kata pendek tersebut dengan perkataan ‘minyak’.

3.2. PENAUNGAN

Dari segi tahap penaungan, binaan KNK kompleks mempunyai dua jenis. Untuk KNK kompleks yang terdiri daripada dua morfem bebas, seperti ‘Bukit Tengah’, ‘Jalan Alma’, ‘Kampung Janggus’, dan ‘Taman Markisah’, nodus tertinggi akan menaungi secara langsung nodus untuk kedua-dua morfem bebas, tanpa ada nodus pertengahan.

Tetapi untuk KNK kompleks yang mempunyai lebih daripada dua morfem bebas atau yang mempunyai morfem terikat atau yang mempunyai kedua-dua morfem bebas dan terikat, terdapat kedua-dua penaungan langsung dan tak langsung. Dan penaungan ini memerlukan penelitian terhadap (i) konstituen terdekat dan (ii) perkataan berimbuhan yang membentuk KNK tersebut.

Untuk ‘Sekolah Kebangsaan Tanah Liat’ dan ‘Pasar Awam Taman Selamat’, nodus tertinggi akan menaungi secara langsung nodus pertengahan yang membentuk dua konstituen terdekat dan menaungi secara tak langsung nodus paling rendah.

Untuk ‘Taman Permatang Tinggi Indah’ pula, kelihatan seolah-olah unsur ‘yang’ digugurkan dan ditiadakan dari binaan ini untuk menentukan konstituen terdekat: [Taman [Permatang Tinggi yang Indah]] à [Taman [Permatang Tinggi Ø Indah ]]. Apabila keadaan ini berlaku, penaungan pada tahap pertengahan memperlihatkan unsur tanggungan dibahagikan kepada dua nodus – satu untuk ‘Pematang Tinggi dan satu untuk ‘Indah’.

Untuk ‘Sekolah Menengah Kebangsaan Alma’ dan ‘Perkampungan Machang Bubuk’, selain dari melihat perkataan yang mengalami pengimbuhan, penentuan perkataan-perkataan yang membentuk konstituen terdekat perlu diteliti. Dan didapati bahawa konstituen terdekat mereka ialah [[[Sekolah Menengah] Kebangsaan] Alma]’ dan [Perkampungan[Machang Bubuk]].

3.3 KEENDOSENTRIKAN KNK KOMPLEKS

Dalam kajian ini, didapati bahawa kebanyakan KNK kompleks bersifat endosentrik, iaitu hasil pemajmukan memperlihatkan makna dan kategori leksikal keseluruhan KNK sama dengan makna dan kategori leksikal kepala KNK. Contohnya, dalam ‘Jalan Kota Permai’, kepala KNK ini ialah kata nama ‘jalan’ yang ditakrifkan sebagai, antaranya oleh Kamus Dewan (edisi keempat), “tempat lalu lintas (utk orang, kenderaan, dll)” (2005: 600). Dari aspek makna, keseluruhan KNK ini memperlihatkan makna yang sama dengan ‘jalan’, dan bukan dengan ‘kota’ yang ditakrifkan sebagai, antaranya oleh Kamus Dewan (edisi keempat), “kawasan tempat kediaman” atau ‘permai’ yang ditakrifkan sebagai, antaranya oleh Kamus Dewan (edisi keempat), “indah, cantik, elok” (2005: 826, 1191).

Selain dari itu, dalam ‘Jalan Kota Permai’, kategori leksikal keseluruhan KNK ini sama dengan kategori leksikal kepala KNK, iaitu kata nama, dan bukan dengan unsur lain yang membentuk KNK ini. Kategori leksikal ini boleh disahkan sebagai kata nama kerana perkataan ‘jalan’ boleh menduduki (i) posisi objek dalam frasa preposisi dalam ayat (2) dan (ii) posisi subjek dalam ayat (3). Ini boleh dilihat dalam frasa preposisi ‘di jalan’ yang terdapat dalam ayat dari BERNAMA.COM dan kepala frasa nama subjek dalam ayat dari Berita Harian Online :

(2) Terdapat kira-kira 130,000 kenderaan Perodua di jalan di Sarawak pada masa ini.
(http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsbusiness.php?id=401020)

(3) Beberapa jalan berhampiran Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Penanti, Bukit Mertajam akan ditutup sempena penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, esok.
(http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20090522000034/Article/)

3.4 PENGESAHAN KEWUJUDAN PERKATAAN DALAM KNK

Perkataan yang membentuk KNK yang dikaji boleh ditemui di dalam kamus atas dan luar talian serta bahan cetakan lain. ‘Kulim’, contohnya, merupakan ‘sejenis tumbuhan (pokok), bebatai, beka, cikih, tampoi hutan dan sejenis pokok memanjat’, dan takrifan ini boleh didapati di Kamus Dewan Edisi Keempat (2008: 845).

Tetapi, perkataan ‘alma’ hanya ditemui selepas menggunakan enjin carian dengan menggunakan kata kekunci ‘etymology of alma’ yang membawa pengkaji ke laman (i) The Online Etymology Dictionary yang memberikan asal-usul perkataan ini dari bahasa Latin: “fem. proper name, from L. Alma "nourishing," fem. of almus, from alere "to nourish”” (2001) dan (ii) Wiktionary (2009) yang memberikan asal-usul perkataan ini dari (a) bahasa Arab: “From colloquial Arabic عالمة (‘ālima), originally a feminine adjective meaning “learned, knowledgeable”, from علم (‘alima), “‘to know’”)”, (b) bahasa Portugis dan Sepanyol: “soul”, dan (c) bahasa Latin: bentuk feminis untuk ‘almus’. Maka, pengkaji membuat andaian bahawa perkataan ‘Alma’ ini ialah satu kata pinjaman. Cumanya pengkaji tidak pasti sama ada dari bahasa Latin, Arab, Portugis, atau Sepanyol. Yang pasti ialah ‘Alma’ sebagai nama tempat boleh dikesani di Lebanon, Israel, dan Quebec, dan sebagai nama pusat pendidikan di Alma College di Michigan dengan menaip kata kekunci ‘alma’ di enjin carian.

Perkataan lain yang agak susah untuk dikesani ialah ‘To’’ dalam ‘Masjid To’ Lebai Hashim’. Hanya melalui nama penyanyi ‘To’Ki’ barulah, perkataan ini ditemui (lihat (4)):

(4) Penyanyi, penghibur and komposer terkenal To'Ki hari Jumaat mengemukakan saman menuntut ganti rugi RM10 juta terhadap The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan tiga lagi yang didakwa menfitnahnya.
(http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_e36ce486-cabec5bb-4f3ba200-9f8844d9)

Nama khas untuk manusia – ‘Hashim’ dan ‘Rozhan’ juga boleh dikesani melalui penaipan nama khas tersebut di enjin carian; lihat Rajah 4. Dan enjin ini membantu mengarahkan ke beberapa laman seperti http://tojde.anadolu.edu.tr/editors/Rozhan_cv.htm untuk ‘Dr. Rozhan Hj Bin Mohammed Idrus’ dan http://twitter.com/Hashim untuk’Hashim Warren’. Carian ini perlu dilakukan untuk mengesahkan bahawa kedua-dua perkataan wujud dalam leksikon manusia.

Rajah 4: Carian untuk ‘Hashim’ dan ‘Rozhan’

Melalui enjin carian juga, penggunaan kata pendek ‘bkt’ ditemui di http://www.iproperty.com.my/property/listing.asp?pid=241969 dalam ‘Shah Alam
U8, Bkt. Jelutong, Bukit Jelutong, Selangor’ dan ‘sk’ ditemui di http://sekolah.edu.my/blog/ dalam ‘SK Sekolah Kebangsaan National type primary schools, where National Language is the teaching medium’.

Dari aspek penulisan, beberapa KNK yang ditemui didapati masih mengekalkan ejaan lama, seperti ‘machang’ dan ‘bubok’ dalam ‘Perkampungan Machang Bubok’. Tetapi apabila taman perumahan baru dibangunkan, ejaan terkini digunakan bagi menghasilkan ‘Taman Macang Bubuk’. Dan perkataan dengan ejaan baru ini boleh dikesani kewujudannya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat untuk ‘bubuk’ dan ‘macang’ dan (2005: 210-211, 387). Namun begitu, entri di kamus untuk ‘macang’ bukanlah perkataan ini; sebaliknya ialah ‘embacang’.

4.0 PENUTUP

KNK yang ditemui hadir dalam bentuk (i) selapis dan (ii) kompleks dengan KNK kompleks terhasil melalui (i) pemajmukan sahaja, (ii) gabungan pemajmukan dan pengimbuhan, (iii) gabungan pemajmukan dan pinjaman, dan (iv) gabungan pemajmukan dan penyingkatan.

Dan KNK kompleks mempunyai tahap penaungan yang berbeza. Ada KNK yang tidak mempunyai penaungan di tahap pertengahan. Untuk KNK yang mempunyai penaungan yang wujud pada tiga tahap – maksimum, pertengahan, dan mimimum – penelitian terhadap konstituen terdekat dan perkataan berimbuhan perlu dilakukan.

Selain dari itu, didapati bahawa kata nama khas kompleks bersifat endosentrik, iaitu hasil pemajmukan memperlihatkan makna dan kategori leksikalnya sama dengan kepala.

Perkataan yang digunakan untuk membentuk kata nama khas ini juga didapati boleh dikesan kehadirannya dalam kamus cetakan biasa, kamus talian, serta bahan talian lain. Dalam pembentukan kata nama khas ini, terdapat beberapa perkataan yang masih dieja menurut sistem ejaan lama; walaupun begitu perkataan ini tetap dapat dikesani kewujudannya..

RUJUKAN

Dewan Bahasa dan Pustaka. 2007. http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka rujukan_kamus_dbp.aspx [dicapai pada 2 Mac 2009].
Dewan Bahasa dan Pustaka. 2009 Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka "sbmbsys@dbp.gov.my. 14 Mac 2009.
Farlex.Inc. 2009. The Free Dictionary. http://www.thefreedictionary.com/Alme. [dicapai pada 2 Mac 2009].
Google Maps. 2009 . http://maps.google.com. [dicapai pada 14 Mac 2009].
Harper, Douglas. 2001. The Online Etymology Dictionary. http://www.etymonline.com/index.php?term=Alma. [dicapai pada 26 Mei 2009]
Jensen, John T. 1990. Morphology: Word Structure in Generative Grammar. Amsterdam/Philadephia: John Benjamins Publishing Company.
Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nik Safiah Karim, Farid M.Onn, Hashim Hj Musa dan Abdul Hamid Mahmood. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
O’Grady, William dan Archibald, John. 2009. Contemporary Linguistics Analysis: An Introduction (6th edition). Toronto: Pearson Longman.
Packard, Jerome L. 2000. The Morphology of Chinese: A Linguistic and Congnitive Approach. Cambridge: Cambridge University Press.
Selkirk, Elisabeth O. 1982. The Syntax of Words. Cambridge, Mass.:The MIT Press.
Spencer, Andrew. 1991. Morphological Theory: An Introduction to Word Structure in Generative Grammar. Oxford: Basil Blackwell.
Wikipedia. 2009. Sri. http://en.wikipedia.org/wiki/Sri . [dicapai pada 23 Mei 2009]
Wiktionary. 2009. Alma. http://en.wiktionary.org/wiki/alma. [dicapai pada 26 Mei 2009]

No comments:

Post a Comment