Thursday, January 29, 2009

Keperluan Tidur Yang Cukup. Mengapa?

Setiap manusia memerlukan tidur yang mencukupi tidak kira apa latar belakangnya. Mengapa kita memerlukan tidur yang cukup? Tidur adalah waktu rehat bagi setiap manusia . Setelah kita bekerja sepanjang hari menggunakan kudrat, akal fikiran dan segala yang ada pada setiap individu bergelar manusia, seharusnyalah kita berehat iaitu tidur pada waktu malam dalam tempoh yang sepatutnya dan mencukupi.
Seandainya kita ingkar dengan peraturan tubuh badan ini, fizikal kita akan memberikan tindak balas yang selalunya bersifat negatif. Keadaan badan kita akan menjadi tidak bersedia untuk memulakan hari yang baru, akal fikiran tidak segar untuk melahirkan idea yang bernas, mata sukar untuk dicelikkan, gangguan ketika memandu, kemungkinan besar kita akan diserang migrain, kecelaruan emosi yang membawa kepada keadaan mudah tertekan atau stress, mudah marah, sukar mengawal perasaan . Situasi ini kemudiannya akan membawa kepada kemerosotan kualiti hidup seseorang.
Keadaan ini boleh diatasi dengan pengurusan masa yang bijak, teratur dan berjadual. Disiplin diri yang jitu diperlukan bagi memastikan segala tindak laku seseorang sepanjnga harinya akan memudahkan individu tersebut mendapatkan tidur atau rehat yang cukup.
Dalam konteks diri saya yang bergelar seorang ibu, isteri, pekerja dan pelajar, semestinya saya perlu mengatur masa dengan sebaik mungkin agar semua tanggungjawab akan terlunas dengan jayanya. Saya sememangnya pembawa penyakit kronik seperti asma dan migrain . Mahu atau tidak saya mesti mendapatkan tidur yang secukupnya bagi mengelakkan saya diserang penyakit yang bersarang di dalam batang tubuh saya ini. Saya sentiasa memastikan saya tidur awal jika ingin bangun awal pagi, atau mengatur tugasan dengan bijak agar tidak terkejar-kejar dan memastikan segala keperluan keluarga dan diri sendiri terpelihara.
Saranan saya di ruang ini adalah dengan menyeru semua orang agar tidak mengabaikan keperluan rehat yang sepatutnya dengan mengamalkan jumlah waktu tidur yang sepatutnya dan bangun penuh kesegaran untuk memulakan hari yang baru penuh semangat dan menghasilkan sesuatu yang menakjubkan.

No comments:

Post a Comment